DR LUQMAN ABDULLAH DILANTIK MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

KUALA LUMPUR: Pensyarah Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Universiti Malaya, Dr Luqman Abdullah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan ke-8 berkuat kuasa semalam (15 Mei 2020) sehingga 14 Mei 2022.

Pelantikan itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.

“Alhamdulillah, pada pagi ini selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, saya menerima kunjungan Sahibus Samahah Dr Luqman bin Tuan Guru Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan ke-8 yang baharu dilantik.

“Majlis serah terima tugas itu berlangsung dalam suasana yang ringkas dan mahabbah,” kata Zulkifli dalam entri terkini di Facebook beliau.

Laman Twitter Universiti Malaya turut mengucapkan tahniah kepada Dr Luqman yang juga tenaga pengajar di universiti awam itu.

Dr Luqman dilahirkan pada 12 September 1969 di Kampung Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan.

Dr Luqman yang juga Pengerusi Madrasah Rahmaniah Pondok Lubuk Tapah, adalah anak kedua ulamak Kelantan terkenal, Haji Abdullah Lubuk Tapah.

Dalam entri terkini beliau, Zulkifli menyifatkan tempoh enam tahun memegang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan memberinya pengalaman baharu yang amat bermakna.

“Saya mohon maaf kepada semua umat Islam di Wilayah Persekutuan dan Malaysia amnya sekiranya terdapat tutur kata, tindakan mahupun apa jua salah dan silap sepanjang enam tahun sebelum ini. ⁣

“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga dikurniakan kekuatan kepada Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan agar dapat melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin,” katanya.

Zulkifli berkata beliau amat yakin Dr Luqman mampu memimpin institusi fatwa di Wilayah Persekutuan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply