COVID-19: FELDA D’SAJI AKTIFKAN FOOD FOR FRONTLINERS

KUALA LUMPUR: Felda D’Saji mengaktifkan program Food For Frontliners bagi memberi sokongan kepada petugas barisan depan yang terpaksa berkerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

Bermula hari ini, Felda D’saji menyampaikan sumbangan makanan tengah hari selama empat hari kepada petugas barisan depan, khususya petugas perubatan, anggota polis dan petugas media.

Sebanyak 1,000 pek makanan diserahkan kepada petugas Hospital Besar Kuala Lumpur (Lobi A Wad COVID-19 HKL) hari ini, sebelum diikuti Klinik Kesihatan Titiwangsa (Saringan COVID-19) esok, Ibu Pejabat Polis Dearah Sentul (28 Mac) dan Hospital Putrajaya (Wad COVID-19) pada 29 Mac. (Setiap serahan membabitkan 250 pek makanan).

Felda D’Saji turut menyampaikan 60 pek makanan kepada petugas AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) tengah hari tadi sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosialnya itu.

Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 Mac hingga 14 April depan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang setakat ini mengorbankan 21 nyawa dan menjangkiti 1,796 individu. – AlHijrah Online

Leave a Reply