HAFIZAH AL-QURAN RAIH GANGSA ACARA ‘MOBILE LEGENDS’ SUKAN SEA

KUALA LUMPUR: Seorang hafizah Al-Quran berjaya meraih pingat gangsa menerusi acara e-sukan Mobile Legends Bang-Bang pada temasya Sukan Sea Kemboja 2023.
Pelajar Diploma Pengajian Perniagaan Kolej Profesional Mara (KPM) Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi yang mewakili Malaysia itu bukan sahaja hebat dalam arena sukan malah turut cemerlang dalam akademik.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Sharifah Alia Husna pelajar Diploma Pengajian Perniagaan KPM Beranang, Selangor atas kejayaan merangkul pingat Gangsa menerusi acara Mobile Legends Bang Bang di Sukan Sea Kemboja 2023.
“Beliau bukan sahaja jaguh dalam sukan yang diceburi tetapi merupakan seorang Hafizah Al-Quran 30 Juzuk serta mencatatkan prestasi akademik cemerlang secara konsisten dengan memperoleh Grade Point Average (GPA) 4.00 bermula dari semester 1 hingga 5 di KPM Beranang,” kata Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam hantaran di Facebook.
Sharifah Alia Husna kini sedang menduduki semester terakhir untuk menamatkan pengajian di kolej tersebut.
Atlet Malaysia tersebut bersama rakan sepasukannya berjaya menunjukkan prestasi cemerlang untuk membawa pulang pingat gangsa selepas mengalahkan Veitnam pada perlawanan penentuan tempat ketiga. – AlHijrah Online