HANYA PROSES POLITIK DIUSAHA SENDIRI LIBYA BOLEH TAMATKAN KONFLIK: EU
ANKARA: Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad menegaskan konflik di Libya hanya boleh berakhir menerusi proses politik yang diterajui dan diusahakan oleh negar÷a itu sendiri, lapor agensi berita Anadolu.
“EU sekali lagi menegaskan bahawa satu-satunya penyelesaian mampan untuk krisis di Libya adalah menerusi usaha pengantara yang dipimpin PBB yang meletakkan keperluan rakyat negara itu sebagai keutamaan. Hanya proses politik yang diterajui dan diusahakan sendiri oleh Libya dapat menamatkan konflik dan membawa keamanan yang berkekalan,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan ketua dasar luar negeri EU Josep Borrell dalam satu kenyataan bersama pada sidang kemuncak proses damai Libya di Jerman.
Persidangan yang berlangsung di Berlin pada Ahad itu “menghimpunkan rakan serantau dan antarabangsa yang paling berpengaruh ketika krisis Libya melalui saat-saat kritikal.”
Peserta sidang kemuncak turut mengulangi komitmen untuk mengelak mengambil sebarang langkah yang boleh membahayakan gencatan senjata.
Kenyataan itu turut menyatakan sokongan terhadap “perpaduan, kedaulatan dan integriti wilayah Libya, demi kepentingan kestabilan dan kemakmuran wilayah.”
“Kami juga akan memikirkan cara terbaik untuk memantau gencatan senjata dan mematuhi sekatan senjata,” katanya.
Rumusan persidangan antarabangsa itu adalah untuk mencari keamanan di Libya dan menegaskan komitmennya melaksanakan gencatan senjata rapuh di negara Afrika Utara.
Sejak pemimpin Libya, Muammar Qaddafi digulingkan pada 2011, dua kuasa muncul di Libya: satu menguasai Libya timur dipimpin Komander Khalifa Haftar, menerima sokongan Mesir dan Emiriah Arab Bersatu, satu lagi Kerajaan Perpaduan Negara (GNA) di Tripoli yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa.
Kerajaan pimpinan Haftar melancarkan kempen ketenteraan sejak April lalu, bertujuan untuk menguasai ibu kota Tripoli yang menjadi pusat pentadbiran GNA, menyaksikan lebih 1,000 orang terbunuh. — BERNAMA