IMARET HANTAR LAGI SUKARELAWAN KE CAC, BANTU KKM PERANGI COVID-19

KUALA LUMPUR: Bermula hari ini, Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) menggerakkan sukarelawannya ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Hulu Langat bagi membantu petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokaliti terbabit.

CAC Hulu Langat ketika ini mengendalikan purata harian 600 kes positif COVID-19.

Koordinator Taskforce COVID-19 IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata, selaku badan bukan kerajaan (NGO) medikal, pihaknya akan membantu KKM dalam kapasitinya untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 dalam negara.

“IMARET bercadang menggerakkan lebih banyak sukarelawan ke CAC lain, bagaimanapun ia bergantung kepada tenaga sukarelawan dan dana sedia ada.

“Ada banyak lagi keperluan, bukan sahaja di CAC Lembah Kelang tetapi di negeri-negeri lain juga termasuk keperluan alat perlindungan diri (PPE) ekoran peningkatan kes COVID-19 yang meningkat mendadak,” katanya.

IMARET katanya akan terus membantu apa sahaja bantuan kritikal untuk fasiliti kesihatan, tetapi memerlukan sokongan dana untuk berbuat demikian.

Selain tenaga sukarelawan, IMARET turut mengagihkan laptop, alat pengukur tekanan darah, alat pengukur suhu dan khemah untuk kemudahan di CAC.

Dr Ahmad Munawwar berkata IMARET komited untuk terus membantu KKM dalam memerangi pandemik COVID-19.

Sebelum ini, lebih 200 sukarelawan IMARET, medikal dan no-medikal, telah tampil membantu petugas perubatan KKM di CAC Petaling di Stadium Malawati, Shah Alam sejak sebulan lalu

Individu atau pihak korporat yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Persatuan Perubatan Islam Malaysia 8600 703 709 (CIMB) atau layari Facebook IMARET atau Instagram untuk maklumat lanjut. Untuk menjadi sukarelawan, medikal atau non-medikal, boleh ke pautan berikut: http://bit.ly/IMARETCOVIDVTREG — AlHijrah Online

Leave a Reply