Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

JEMAAH HAJI DIINGATKAN JAGA KESIHATAN SUSULAN CUACA BERDEBU, JEREBU, IPU TIDAK SIHAT

DUNIA

JEMAAH HAJI DIINGATKAN JAGA KESIHATAN SUSULAN CUACA BERDEBU, JEREBU, IPU TIDAK SIHAT

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata cuaca panas dan berdebu yang melanda Makkah sejak dua hingga tiga hari kebelakangan ini turut menuntut jemaah agar bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi perubahan cuaca sepanjang tempoh ibadah haji.

Jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M dinasihatkan agar memakai pelitup muka berikutan keadaan cuaca berdebu dan jerebu, di sini yang menyaksikan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah paras tidak sihat iaitu 180, semalam.–fotoBERNAMA

MAKKAH: Jemaah haji Malaysia dinasihatkan memakai pelitup muka berikutan keadaan cuaca di Makkah, berdebu dan jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah paras tidak sihat iaitu 180, pada Isnin.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata cuaca panas dan berdebu yang melanda Makkah sejak dua hingga tiga hari kebelakangan ini turut menuntut jemaah agar bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi perubahan cuaca sepanjang tempoh ibadah haji.

“Oleh itu, TH (Tabung Haji) menasihatkan semua jemaah agar sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar dari bilik, sama ada untuk ke masjid atau ke kawasan lain. Sebaiknya jadikan pemakaian pelitup muka sebagai amalan harian demi menjaga kesihatan masing-masing,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata pihak TH akan terus memaklumkan keadaan semasa cuaca dan laporan IPU melalui saluran rasmi seperti WhatsApp bagi memastikan jemaah sentiasa peka dengan perkembangan terkini.

“Selain itu, jemaah turut diingatkan agar tidak terdedah lama kepada panas terik dengan suhu semasa mencecah antara 30 hingga 44 darjah celsius dan dijangka boleh meningkat sehingga 50 darjah celsius dalam masa terdekat.

“Justeru persediaan fizikal dan mental amat penting, terutama menjelang wukuf yang dijangka berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Sementara itu Mohd Hisham berkata TH kini giat menganjurkan program persediaan ibadah haji dan persiapan ke Masyair bagi memastikan jemaah Malaysia benar-benar bersedia secara fizikal, mental dan spiritual menjelang kemuncak ibadah haji.

“Bagi tujuan tersebut, jemaah haji digalakkan untuk menghadiri ceramah agama yang dianjurkan di maktab-maktab penginapan masing-masing serta berjumpa dengan Petugas Ibadah Haji Tanah Suci (PIHTAS) bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan sebarang persoalan berkaitan ibadah,” katanya.

Selain itu, Mohd Hisham berkata TH turut menyediakan saluran e-Bimbingan bagi membolehkan jemaah mempelajari ilmu berkaitan dengan Haji dengan lebih mudah secara dalam talian termasuk mengakses rakaman video.

“Jemaah juga boleh berinteraksi secara langsung menerusi panggilan telefon atau mesej bersama pembimbing ibadah haji yang berada di Tanah Suci menerusi e-Taib,” katanya.

Mohd Hisham berkata jemaah turut digalakkan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran, berzikir, serta berdoa dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT menjelang Hari Wukuf. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading