KEMUNGKINAN BESAR TIADA LAGI UPSR

ALOR GAJAH: Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) kemungkinan besar tidak lagi akan diadakan.

Memetik laporan Harian Metro, pemansuhan peperiksaan tersebut kini sedang dalam peringkat akhir kajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pun begitu, Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya, berkata keputusan muktamad mengenai pemansuhan itu akan dibuat tidak lama lagi.

“Kemungkinan besar tidak akan ada lagi UPSR pada tahun hadapan dan selama-lamanya. Kemungkinan besar kumpulan murid yang menduduki UPSR pada tahun lalu adalah yang terakhir.

“Kementerian sekarang pada peringkat akhir membuat kajian mengenainya dan insya-Allah akan membuat keputusan muktamad tidak lama lagi,” katanya hari ini.

Menurut Muslimin tiada kajian dibuat KPM untuk menggantikan UPSR.

Jelas beliau pencapaian akademik murid tahun enam akan dinilai melalui pentaksiran sepanjang masa, ujian esei dan temu duga bagi penempatan di lima jenis sekolah khusus.

Pada 15 April lalu, KPM mengumumkan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan berikutan pandemik Covid-19. — AlHijrah Online

Leave a Reply