KUTIPAN ZAKAT FITRAH MAIWP NAIK LEBIH 1,100 PERATUS

KUALA LUMPUR: Kutipan zakat fitrah oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tahun ini meningkat mendadak mencecah 1100.06 peratus kepada RM4.97 juta berbanding RM414,430 pada tahun sebelumnya antara lain disumbangkan kaedah pembayaran secara online.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, statistik PPZ Wilayah Persekutuan menunjukkan jumlah kutipan zakat fitrah dan harta di Wilayah Persekutuan meningkat pada 2020 berbanding 2019.

Katanya, jumlah kutipan zakat fitrah pada 2020 adalah RM4,973,423.62 peningkatan 1100.06 peratus berbanding 2019, manakala kutipan zakat harta pada 2020 adalah RM308,806,094.76 dengan peningkatan 8.05 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Alhamdulillah kutipan zakat fitrah dan zakat harta oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan melonjak naik sehingga 1100.06 peratus bagi zakat fitrah dan 8.05 peratus bagi zakat harta.

“InsyaAllah, zakat ini akan dibelanjakan dengan penuh berhemah dan diserahkan seadilnya kepada lapan kelompok asnaf yang berhak,” katanya pada Sidang Media Kad Laporan Mei 2020 di Putrajaya hari ini.

Zulkifli berkata kutipan zakat fitrah dan zakat harta MAIWP memang meningkat setiap tahun, namun tahun ini ia melonjak dengan amat ketara. – AlHijrah Online

Leave a Reply