LAGI PENYU AGAR DITEMUI MATI

MARANG: Seekor lagi penyu agar betina seberat 60 kilogram ditemui mati di Pantai Kelulut, Marang pagi tadi.

Bangkai penyu agar betina berumur kira-kira 20 tahun dengan panjang 82 sentimeter serta lebar 60 sentimeter itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 10.25 pagi sebelum dilaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Pengarah Perikanan Negeri, Ruzaidi Mamat ketika dihubungi berkata, penyu agar betina itu dipercayai mati akibat tertelan plastik memandangan terdapat plastik reput di dalam mulut penyu itu.

Katanya penyu tersebut kemudian ditanam oleh tiga kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu berhampiran lokasi penyu tersebut ditemui.

Menurut Ruzaidi, semalam seekor penyu agar jantan dewasa turut ditemui mati berhampiran Pantai Pulau Kapas pada jam 11.00 pagi.

Katanya penyu berukuran 80 sentimeter dan lebar 69 sentimeter tersebut dipercayai mati akibat lemas terperangkap dalam pukat.

Ujarnya, sebanyak 11 bangkai penyu agar ditemui melibatkan tujuh penyu betina dan empat penyu jantan mati dipersisir pantai sejak 3 Januari lalu.

Untuk rekod, sebanyak 51 kes kematian melibatkan hidupan marin itu yang direkodkan di seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu.

Beliau menasihat pengunjung pantai peranginan dan nelayan agar tidak membuang plastik kerana ianya menjadi punca utama kematian penyu-penyu itu.

Orang awam dan nelayan diminta agar segera menghubungi hotline ‘fishcom’ di talian 03-88885019 / 03-88704058 yang beroperasi 24 jam sekiranya menemui penyu hidup atau mati di pantai. –AlHijrah Online

Leave a Reply