LIGA ARAB TOLAK KEPUTUSAN PARLIMEN TURKI LULUS PENEMPATAN TENTERA DI LIBYA

Last Updated on

4

KAHERAH: Liga Arab (AL) pada Khamis menolak keputusan parlimen Turki meluluskan penempatan tentera di Libya yang terjejas akibat dilanda konflik, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan badan itu.

AL menyifatkan langkah itu sebagai “menggalakkan lagi konflik yang sedang berlaku” di Libya.

Keputusan parlimen Turki itu dilihat sebagai tidak menghiraukan penolakan Arab terhadap sebarang campur tangan asing di Libya, seperti yang dinyatakan dalam mesyuarat tergempar Majlis AL pada Selasa di ibu pejabatnya di Kaherah.

“Majlis AL menekankan sokongan terhadap proses politik di Libya,” menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa ia menganggap perjanjian damai 2015 dipelopori Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara puak-puak bertelagah yang dicapai di bandar Skhirat, Maghribi sebagai “satu-satunya rujukan bagi penyelesaian konflik di Libya.”

Terdahulu, parlimen Turki meluluskan usul yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk menempatkan tentera di Libya selama setahun bagi membantu kerajaan yang disokong PBB di ibu kota Tripoli.

Usul itu menyebut kerajaan Turki akan menentukan saiz, masa dan skop penempatan tentera di Libya.

Mesir turut mengutuk langkah parlimen Turki dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian luarnya dan memberi amaran terhadap sebarang campur tangan ketenteraan asing di Libya.

Libya telah terjerumus ke kancah perang saudara sejak penyingkiran dan pembunuhan bekas pemimpin negara itu Muammar Gaddafi pada 2011.

Konflik Libya memuncak pada 2014, menyebabkan berlaku pemecahan kuasa antara dua kerajaan saingan iaitu Kerajaan Perpaduan yang disokong PBB di Tripoli dan kerajaan di timur laut bandar Tobruk yang bersekutu dengan Tentera Kebangsaan Libya pimpinan Khalifa Haftar — BERNAMA

Leave a Reply