MAIS KEMPEN WAKAF BUKU DI SELANGOR

KUALA LUMPUR: Lebih 12,000 buku wakaf, termasuk buku kajian ilmiah pelajar pengajian awam, diterima Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Kempen Wakaf Buku MAIS sejak April 2013.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata kesemua buku wakaf itu diedarkan kepada sekolah terpilih, hospital kerajaan, rumah anak yatim dan perpustakaan awam di Selangor selain meletakkannya di ruangan Perpustakaan Wakaf MAIS bagi tujuan rujukan dan ilmiah.

Katanya, program wakaf buku ini merupakan salah satu inisiatif MAIS selain wakaf dalam bentuk wang, tanah dan bangunan.

“MAIS menggalakkan orang ramai mewakafkan buku bagi manfaat ilmu khususnya di negeri Selangor, selain menjadikan buku sebagai salah satu bentuk amal jariah,” katanya dalam kenyataan kepada AlHijrah Online di sini hari ini.

Ahmad Shahir berkata MAIS turut melancarkan program Little Free Library (LFL) yang bertujuan mempromosikan budaya membaca dengan menempatkan bahan bacaan di rak buku LFL di ibu pejabat MAIS bagi manfaat pelanggannya.

Katanya, Perpustakaan Wakaf MAIS itu memulakan operasinya pada 2008 di Wisma MAIS, Sekyen 3, Shah Alam, beroperasi setiap hari kecuali pada Ahad dan cuti umum bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang.

Orang ramai yang berminat boleh mewakafkan buku kepada Perpustakaan Wakaf MAIS dengan cara memasukkan buku sumbangan ke dalam kotak yang disediakan di Perpustakaan Wakaf MAIS di Wisma MAIS, Seksyen 3, Shah Alam. – AlHijrah Online

Leave a Reply