PEKERJA BINAAN NYARIS MAUT TUBUH TERBAKAR 80 PERATUS

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja binaan nyaris maut selepas tubuhnya terbakar 80 peratus dalam kejadian di tapak pembinaan di Jalan Damanlela, Bukit Damansara, di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.26 pagi tadi sebelum menghantar 11 anggota bomba bersama dua buah jentera FRT dan sebuah EMRS ke lokasi kejadian.

Katanya, kejadian tersebut turut melibatkan dua lagi mangsa yang melecur 30 peratus dan sembilan peratus pada bahagian badan masing-masing.

“Kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah kotak suis yang berada di kawasan tapak pembinaan tersebut terbakar.

“Bagaimanapun, api telah padam setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian sementara mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya hari ini.

Punca kebakaran masih dalam siasatan bomba.—AlHijrah Online

Leave a Reply