PELAJAR MALAYSIA DI SUDAN JALANI RUTIN BIASA

Sebahagian pelajar Malaysia di Sudan
Pergolakan yang berlaku di Sudan sejak dua minggu lalu kini di sudah kembali terkawal.
Menurut Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Sudan, Mohd Alif Mohd Ludin, mereka dalam keadaan selamat dan situasi agak stabil walaupun perintah berkurung yang dikeluarkan Kedutaan Malaysia di sana masih berkuat kuasa.
“Situasi di Sudan sudah tenang dan terkawal. Pelajar sudah bebas keluar. Cuma beberapa tempat contohnya di Arabi masih dalam keadaan berjaga-jaga.”
Jelasnya, rusuhan hanya berlaku di beberapa tempat di Sudan dan paling kritikal ialah di Atbara, 300km dari Khartoum, ibu negara Sudan.
Terdapat juga rusuhan di Arabi, salah sebuah pekan di Khartoum yang jaraknya 10 kilometer dari kediaman pelajar.
“Setakat ini rusuhan tak ancam nyawa pelajar. Sebaik saja berlaku rusuhan, kedutaan beri arahan kepada pelajar untuk berkurung di rumah masing-masing.”

Pelajar Malaysia di Sudan jalani rutin harian seperti biasa
Tambahnya pihak Kedutaan Malaysia di Sudan sudah merekodkan nama penuntut Malaysia di sana bagi langkah membawa pulang ke tanah air. Namun belum ada arahan selanjutnya.
“Ura-ura untuk balik ke Malaysia mungkin tidak ada.“
Katanya rusuhan berlaku bermula dengan kenaikan harga roti yang mendadak, empat kali ganda dari harga asal selain bekalan bahan api yang tidak mencukupi.
Bagaimanapun kerajaan sudah mengambil langkah mengawal harga tersebut bagi mengurangkan ketegangan.

Rusuhan yang berlaku di Sudan
“Sebelum ini harga sekeping roti 1 Pound Sudan tetapi ketika berlaku krisis, harganya naik mendadak sehingga 4 Pound Sudan. Ini yang mencetuskan rusuhan di kalangan rakyat.”
“Apabila berlaku rusuhan, harga roti kini dikawal semula dan diturunkan semula. Kerajaan mengawal semula harga roti yang meningkat.”
“Turut berlaku kekurangan bekalan petrol dan diesel, menyebabkan kenderaan beratur panjang di stesen minyak”.