SEMUA AKTIVITI SUKAN DAN REKREASI DIBENARKAN TANPA SEKATAN, STATUS VAKSINASI – KBS

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Mulai esok, semua jenis aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan tanpa sebarang had atau sekatan termasuk status vaksinasi dan limitasi masa.

Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menerusi siaran media soalan lazim Fasa Peralihan ke Endemik.

Menurut KBS, aktiviti berkumpulan seperti senamrobik, zumba, latihan taekwondo dan seumpamanya juga dibenarkan tanpa sebarang had atau kapasiti penyertaan.

Kehadiran penonton dan penyokong ke venue sukan dan rekreasi turut dibenarkan dengan penggunaan 100 peratus kapasiti ruang, yang bermakna tiada penjarakan fizikal diperlukan namun digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka.

Pemakaian pelitup muka juga dikecualikan di kawasan terbuka dan ketika melakukan aktiviti sukan di dalam kawasan tertutup. Bagaimanapun, ia diwajibkan ketika tidak melakukan sebarang aktiviti bersukan di kawasan tertutup.

Menurut KBS, imbasan kod QR MySejahtera juga tidak diwajibkan ketika memasuki premis atau venue sukan dan rekreasi manakala premis pula dibenarkan beroperasi tanpa had masa mengikut syarat lesen atau permit.

Bagaimanapun, pihak pengurusan premis perlu menyemak status risiko pelanggan mereka di dalam aplikasi itu, dengan individu berstatus risiko tinggi iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberikan arahan pengasingan di rumah (HSO) tidak dibenarkan memasuki premis atau venue sukan dan rekreasi

Penganjuran kejohanan, pertandingan serta acara sukan dan rekreasi di peringkat domestik dan antarabangsa juga dibenarkan tetapi perlu kebenaran Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) kecuali bagi acara berskala kecil melibatkan peringkat komuniti.

Garis panduan permohonan penganjuran boleh diakses di laman sesawang https://pps.kbs.gov.my/my, manakala permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian di pautan https://erosa.kbs.gov.my/ks_user/login.php.–AlHijrah Online

Leave a Reply