TANGGUH DAHULU PERJALANAN LAWAT SAUDARA-MARA DAN URUSAN SOSIAL KETIKA PKPB

KUALA LUMPUR: Individu atau mana-mana pihak yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan tujuan tidak mendesak diminta untuk menangguhkan dahulu hajat mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kelonggaran rentas daerah dan negeri hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai alasan kukuh sahaja .

“Orang berpusu-pusu untuk dapatkan surat kebenaran. Saya menasihatkan yang mempunyai keperluan mendesak sahaja pergi ke balai polis untuk mendapatkan borang.

“Saya difahamkan banyak urusan peribadi dan sosial berpusu-pusu ke balai polis untuk dapatkan borang. Ada sesetengah itu memberi alasan nak melawat saudara-mara dan macam-macam,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ujar Ismail Sabri, tujuan pelaksanaan PKPB ialah untuk mengurangkan pergerakan bagi memutuskan jangkitan COVID-19.

Oleh itu katanya orang ramai diharap dapat memberikan kerjasama dengan mengurangkan pergerakan sepanjang tempoh PKPB.

Dalam pada itu Ismail Sabri memaklumkan mereka yang mempunyai keperluan mendesak untuk perjalanan rentas daerah atau negeri boleh memuat turun borang kebenaran di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelasnya, mereka hanya perlu datang ke balai polis untuk mendapatkan tandatangan selepas selesai mengisi borang yang dimuat turun, sekaligus dapat mengurangkan kesesakan di balai. — AlHijrah Online.

Leave a Reply