USAH KONGSI PENEMUAN HAIWAN LIAR DI MEDIA SOSIAL – PERHILITAN

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu menasihati orang ramai supaya tidak kongsikan sebarang video penemuan haiwan liar, menerusi media sosial bagi mengelakkan ancaman pemburu haram.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong, berkata sebaliknya rakaman video terbabit perlu dihantar kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

“Perkongsian video haiwan liar melalui media sosial berserta butiran terperinci seperti lokasi dan masa ia ditemukan, hanya memberi ‘peluang’ kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Mungkin niatnya agar orang lain boleh berhati-hati dengan kewujudan haiwan liar di sekitar lokasi terbabit, namun ada kesan negatif daripada perkongsian itu dan perkara ini mesti dihentikan,” katanya.

Malam tadi, sebuah video berdurasi 33 saat tular dalam media sosial memaparkan kemunculan seekor harimau dipercayai dirakam seorang pemandu kereta di Santong, Paka dekat Dungun.

Lelaki itu mendakwa sempat merakam pergerakan harimau itu yang keluar dari kawasan semak sebelum melintas di laluan digunakan penduduk kampung.

Mengulas lanjut, Kean Seong memaklumkan setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung penemuan harimau berkenaan.

Tambahnya, individu yang terserempak dengan harimau, sepatutnya tidak berada dekat kerana bimbang ia akan bertindak agresif.

“Jika mahu mengambil video, hanya dari jarak jauh dan laporkan kepada PERHILITAN untuk memudahkan pemantauan dibuat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. –AlHijrah Online

Leave a Reply