COVID-19 : 4,577 RAKYAT MALAYSIA DI LUAR NEGARA DIBAWA PULANG – WISMA PUTRA

KUALA LUMPUR: Seramai 4,577 rakyat Malaysia di luar negara berjaya dibawa pulang melalui proses repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, sumbangan parti politik, pihak swasta, mahupun dibiayai secara persendirian, setakat hari ini.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar dalam kenyataan hari ini berkata bagaimanapun seramai 3,026 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di 45 negara dengan jumlah paling ramai di India melibatkan 1,446 orang.

“Daripada jumlah 3,026 orang rakyat Malaysia yang terkandas ini, seramai 2,016 orang sahaja merupakan pelancong atau pelawat jangka pendek.

“Selebihnya pula merupakan rakyat Malaysia yang menetap atau bermastautin di negara lain atas sebab pekerjaan atau pembelajaran, tetapi membuat perancangan untuk pulang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka boleh dikategorikan sebagai terkandas yang tidak kritikal,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar berkata antara negara lain yang mencatatkan sejumlah besar rakyat Malaysia yang terkandas adalah di Thailand (259 orang), Australia (152), New Zealand (149), Pakistan (144), Vietnam (131), Arab Saudi (121), Filipina (97), Sri Lanka (61) dan Nepal (50).

Dalam pada itu, Kamarudin berkata sebanyak dua penerbangan sewaan khas Malindo Airlines membawa 344 rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini melalui penerbangan OD 210 dan OD 212 masing-masing pada 4.35 pagi dan 5.10 pagi.

Menurutnya, Kementerian Luar juga sedang menyelaraskan usaha untuk membawa pulang baki rakyat Malaysia yang masih terkandas di India dan sebanyak tujuh penerbangan sewaan khas Malindo dijangka tiba pada 3 hingga 5 April ini.

“Sebelum ini, Kementerian Luar dan Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai telah menyelaraskan sembilan penerbangan AirAsia dan dua penerbangan Malindo Airlines membawa pulang seramai 2,361 rakyat Malaysia yang terkandas di India yang usaha itu disokong dengan sumbangan kewangan Kongres India Se-Malaysia (MIC),” katanya.

Sementara itu, seramai 310 pelajar Malaysia di Indonesia tiba di tanah air, semalam melalui beberapa penerbangan komersial dan 126 pelajar lagi dijadual tiba hari ini menaiki feri dari Batam ke Stulang Laut, Johor.

Kesemua mereka pulang ke tanah air atas inisiatif dan tanggungan sendiri, dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan pejabat Konsulat sebagai pemudah cara dalam urusan dengan pihak berkuasa Indonesia dan syarikat penerbangan.

Kamarudin turut sekali lagi menegaskan sebarang keputusan untuk membawa pulang pelajar tajaan adalah tertakluk kepada situasi semasa di negara yang terjejas serta pertimbangan pihak penaja.

Selain itu, beliau berkata usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas di negara Timur Tengah  juga giat dilakukan melibatkan rundingan di peringkat pimpinan negara antara Malaysia dengan negara  terlibat.

“Hari ini,  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Luar) telah menghubungi Putera Mahkota Arab Saudi merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi Mohammad Salman,  bagi membincangkan usaha membantu membawa pulang rakyat negara ini yang terkandas di negara itu selain kebajikan rakyat Arab Saudi di Malaysia,” katanya.

Dalam  perkembangan lain, kerajaan turut menerima 1,000 unit kit ujian COVID-19 daripada Brunei Darussalam hari ini disampaikan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke Malaysia Pengiran Asnawi Arbi Pengiran Dato Paduka Hj Sharifuddin. 

“Kerajaan Brunei Darussalam merupakan antara negara terawal yang telah menyatakan hasrat untuk membuat sumbangan kepada Malaysia dalam menangani penularan pandemik COVID-19.

Penyerahan sumbangan Brunei ini turut mempamerkan hubungan istimewa yang telah terjalin sepanjang 36 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara dan menunjukkan komitmen tinggi kedua-dua negara sebagai negara anggota ASEAN dalam menangani krisis COVID-19, katanya. — BERNAMA

Leave a Reply