Isu Syria: Paksa pindah kubur sebab pelarian

Kejadian didakwa berlaku di di bandar Asun, utara Lubnan pada 20 September lalu dan kemudian menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai. FOTO ARABICPOST.COM

KUBUR seorang kanak-kanak pelarian Syria terpaksa digali semula dan diserahkan kepada warisnya kerana dikebumikan di kawasan yang diperuntukkan untuk orang Lubnan.

Menurut laporan arabicpost.com, kejadian itu berlaku selepas seorang penduduk tempatan membantah keras pengkebumian di tanah perkuburan berhampiran beberapa jam selepas dikebumikan.

Ia didakwa berlaku di bandar Asun, utara Lubnan pada 20 September lalu dan kemudian menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Mengulas kejadian berkenaan, Ketua Bahagian Penguatkuasa Wakaf di Tripoli, Firas Ballout kesal dengan kejadian yang berlaku dan menegaskan ia bercanggah dengan Islam.

Susulan apa yang berlaku, seorang penduduk tempatan di kawasan berhampiran bertindak mewakafkan sebahagian tanahnya untuk dijadikan tapak perkuburan bagi pelarian Syria di situ.

Sementara itu sumber yang lain berkata, arahan kubur kanak-kanak berusia empat tahun itu digali semula kerana ia dikebumi tanpa izin. – Razali Awang/Media Syria Care

Leave a Reply