KEPUTUSAN IBADAT HAJI DIUMUM SELEPAS RAYA – ZULKIFLI

KUALA UMPUR: Keputusan sama ada rakyat Malaysia boleh menunaikan ibadat haji pada tahun ini akan diumumkan selepas sambutan Aidilfitri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Kerajaan Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi Arab Saudi berhubung perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Jawapan kita bergantung kepada bagaimana kenyataan daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. 

“Kita juga akan berbincang secara khusus dalam melaksanakan yang itu (haji) sekiranya dibenarkan… keputusan itu akan diumumkan selepas mendapat satu jawapan yang rasmi daripada pihak Arab Saudi,” katanya dipetik BERNAMA selepas menyaksikan penyerahan sumbangan CIMB Islamic Bank kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Putrajaya dekat sini hari ini.

Majlis itu menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Ahmad Shahriman Mohd Shariff menyampaikan sumbangan wang tunai RM150,000 kepada Yang Dipertua YADIM, Nik Omar Nik Abd Aziz.

Nik Omar berkata sumbangan itu akan digunakan untuk program YADIM Peduli: Musa’adah COVID-19 dan ia bakal diagih kepada kelompok sasar, termasuk kumpulan asnaf, B40, petugas barisan hadapan dan golongan yang terkesan dengan COVID-19.

Kelompok penerima itu termasuk kumpulan khas iaitu kluster tabligh dan mahasiswa, katanya.

Musa’adah COVID-19 yang digerakkan agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bermula pada Mac lalu selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang COVID-19.

Sehingga kini, sebanyak 9,732 individu menerima bantuan berbentuk wang tunai serta barangan keperluan asas membabitkan peruntukan RM480,280 di bawah Program YADIM Peduli: Musa’adah COVID-19. — AlHijrah Online

Leave a Reply