MALAYSIA SOKONG KEBENARAN TERHAD IBADAH HAJI

KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik pendirian kerajaan Arab Saudi dalam pelaksanaan ibadah haji musim 1441H/2020 secara terhad untuk penduduk negara itu serta rakyat asing yang menetap di sana.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara tersebut dimaklumkan menerusi panggilan telefon daripada Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al-Saud, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Panduan Arab Saudi, Shaikh Abdullatif Abdulaziz Aal Al Shaikh, dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Shaikh Dr Muhammad Saleh Taher Benten pada Isnin dan Selasa lepas.

“Sesungguhnya, Malaysia amat menerima baik pendirian kerajaan Arab Saudi ini yang mana ia bukan sahaja menggambarkan kecaknaan Khadimul Haramaian al-Sharifain Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi terhadap umat Islam di seluruh dunia bagi memastikan ibadah ini dapat dilaksanakan dengan selamat berdasarkan perspektif kesihatan umum.

“Malah ia juga bertepatan dengan konsep maqasid syariah iaitu hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa),” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Hishammuddin dan Zulkifli malam semalam.

Kedua-dua menteri tersebut juga berjanji akan sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan Arab Saudi khususnya dengan rakan sejawat masing-masing bagi memastikan rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi diberi keutamaan sekiranya pelaksanaan ibadah haji secara terhad diteruskan.

Hishammuddin dan Zulkifli turut mengajak seluruh umat Islam di Malaysia untuk mendoakan wabak Covid-19 segera hilang dari bumi Arab Saudi, Malaysia dan seluruh dunia serta mendoakan semoga ibadah haji tahun hadapan dapat dilaksanakan sebagaimana tahun-tahun sebelum ini. – AlHijrah Online

Leave a Reply