OPERASI SEKOLAH KELOLAAN JAIS DI PETALING DITANGGUHKAN BERMULA HARI INI

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangguhkan semua operasi persekolahan di bawah kelolaan dan kawalannya di daerah Petaling berkuatkuasa mulai 12 Oktober 2020 sehingga 25 Oktober 2020.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, arahan itu susulan peningkatan penularan kes wabak COVID-19 di daerah Petaling yang semakin meningkat dan demi menjaga kemaslahatan para pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat umum.

“Penangguhan ini akan terus berkuatkuasa sehingga terdapat arahan lain oleh jabatan ini melalui suatu pemberitahuan rasmi mengenainya.

“Dalam tempoh penangguhan aktiviti persekolahan bersemuka ini, semua pengetua, guru besar dan ketua guru hendaklah memastikan semua guru dan murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid,” ujarnya dalam kenyataan rasmi malam tadi.

JAIS katanya sentiasa memantau situasi di Selangor dan sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Semalam KPM mengumumkan penutupan 298 sekolah di Petaling selepas daerah itu telah disahkan sebagai zon merah. — AlHijrah Online.

Leave a Reply