PEMBINAAN MURTADHA DAKWAH CENTRE MASUK FASA KEDUA

SUNGAI PETANI: Pembinaan pusat sehenti 24 jam, Murtadha Dakwah Centre di Sungai Layar di sini kini memasuki fasa kedua dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.

Pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja menyediakan masjid 24 jam, malah turut menawarkan pelbagai perkhidmatan secara percuma kepada orang ramai.

Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof berkata, pusat komuniti yang dibangunkan di kawasan seluas tiga hektar itu bakal dilengkapi rumah warga emas, tahfiz integrasi, pengurusan jenazah, stadium e-sukan serta hub memanah dan berkuda.

“Semua orang boleh datang ke MADAD secara percuma. Masjid yang dibina juga dilengkapi pusat jagaan kanak-kanak untuk memudahkan ibu bapa menunaikan solat.

“Pembinaan MADAD juga bersifat mesra musafir di mana kapsul hotel turut disediakan,” katanya.

Tambah beliau istimewanya masjid itu juga, ia dibina berasaskan ilmu falak dan mengambil inspirasi binaan Masjid Nabawi di Madinah.

Menurut Mohammad Yaakub, kos pembinaan MADAD itu menelan belanja sehingga RM35 juta dan apabila siap nanti ia akan memberi manfaat kepada banyak pihak.

Sementara itu, menurut Mohammad Yaakub, bagi menampung kos operasi harian, MADAD turut mempunyai ekosistem sendiri untuk menjana pendapatan setiap bulan dalam tempoh jangka masa panjang.

Antara perniagaan yang diusahakan MADAD ialah pelaburan saham syariah, penanaman mangga harum manis dan tembikai serta penternakan ikan, udang karang dan kambing.

Sempena 10 ramadan terakhir ini, orang ramai yang mahu berinfak atau berwakaf bagi pembangunan pusat komuniti dakwah dan masjid 24 jam itu boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Murtadha Dakwah Centre bernombor 552059807117 atau hubungi 014-6019090/9494 atau layari http://www.madadcentre.com untuk maklumat lanjut. – AlHijrah Online

Leave a Reply