PENUNGGANG MOTOSIKAL REMPUH ANGGOTA JPJ ADA 8 KES JENAYAH, DADAH

PORT DICKSON: Penunggang motosikal yang bertindak merempuh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 28 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, di sini semalam, mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah.
ARTIKEL BERKAITAN – PENUNGGANG MOTOSIKAL LARI ‘ROADBLOCK’, REMPUH ANGGOTA JPJ
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 12.51 tengah hari daripada seorang pegawai JPJ.
Katanya, motosikal dinaiki suspek secara tiba-tiba dipandu laju dipercayai untuk meloloskan diri lalu merempuh seorang anggota penguat kuasa JPJ semasa ingin membuat pemeriksaan.
“Suspek juga didapati tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan sudah tamat tempoh. Proses reman akan dilakukan esok (hari ini) di Mahkamah Port Dickson.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Aidi Sham berkata, anggota JPJ yang dirempuh itu telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan kerana mengalami kecederaan kecil di bahagian kaki dan tangan.
“Tiada kecederaan serius yang dialami oleh anggota tersebut dan dia telah dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.
Semalam tular video berdurasi lima saat memaparkan anggota JPJ terpelanting dan terhantuk di kepala selepas dilanggar seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri.—AlHijrah Online
Pingback: PENUNGGANG MOTOSIKAL LARI ‘ROADBLOCK’, REMPUH ANGGOTA JPJ – ALHIJRAH ONLINE