Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PERDAMAIAN AS-IRAN BELUM JAMIN BEKALAN MINYAK PULIH SEGERA

EKONOMI

PERDAMAIAN AS-IRAN BELUM JAMIN BEKALAN MINYAK PULIH SEGERA

Impak positif daripada perjanjian damai itu tidak akan dirasai serta-merta kerana proses pemulihan memerlukan tempoh tertentu.

PUTRAJAYA: Pemulihan bekalan minyak global dan ekonomi dunia dijangka mengambil masa walaupun Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai perjanjian damai susulan gangguan terhadap laluan perdagangan utama serta kerosakan infrastruktur akibat konflik.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkembangan ke arah perdamaian sememangnya dinanti-nantikan kerana krisis geopolitik yang berlaku ketika ini memberi kesan besar kepada ekonomi negara, khususnya berkaitan bekalan minyak.

Bagaimanapun, beliau berkata impak positif daripada perjanjian damai itu tidak akan dirasai serta-merta kerana proses pemulihan memerlukan tempoh tertentu.

“Sekiranya benar perjanjian damai itu boleh dicapai, kesannya itu mungkin akan mengambil masa kerana proses memulihkan keadaan dari segi laluan di Selat Hormuz (dan) kerosakan kepada infrastruktur yang terkesan ketika peperangan. Jadi itu mengambil masa untuk dipulihkan sepenuhnya,” katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini yang menyaksikan AS dan Iran bersetuju untuk mencapai perjanjian damai.

Menurutnya, Selat Hormuz kekal sebagai laluan kritikal perdagangan minyak dunia dan sebarang gangguan di kawasan itu boleh meningkatkan kos tenaga serta menambah tekanan inflasi di banyak negara termasuk Malaysia.

Akmal Nasrullah berkata Kementerian Ekonomi akan terus memantau perkembangan semasa selain mengekalkan langkah mitigasi bagi mengurangkan tekanan ekonomi melalui platform seperti Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

“Di peringkat Kementerian Ekonomi, kita masih mengekalkan komitmen untuk terus melihat peranan yang boleh diambil bagi meredakan tekanan yang berlaku sehingga keadaan benar-benar memberi gambaran lebih jelas mengenai penamatan krisis ini,” katanya.

Pada Ahad, Donald Trump mengumumkan bahawa perjanjian dengan Iran telah dimuktamadkan serta memberi kebenaran untuk pembukaan semula Selat Hormuz dan penarikan sekatan tentera laut AS. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in EKONOMI

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading