KEJAR POPULARITI ATAU BERBAKTI?

Oleh Finaz Yunus

Kenapa setiap kali figura popular turun padang membantu golongan asnaf, ia bukan hanya tular tetapi mengundang reaksi netizen tentang siapa watak protagonis dan antagonis.

Dengan kata lain siapa hero atau siapa penjahat (baca: tidak buat kerja).

Apa yang dimaksudkan dengan dua watak ini? Jika kalian membaca ruangan komen, kalian akan mendapati ada dua reaksi atau pandangan netizen.

Satu, pujian buat figura yang membantu; Dua; teguran dan cacian buat penduduk setempat di mana individu itu dibantu, termasuk penduduk kampung, penghulu, wakil rakyat dan sudah pasti pusat zakat yang menjadi sasaran utama cemuhan.

“Mana pusat pungutan zakat, mana jabatan kebajikan masyarakat?” ini persoalan umum yang sering dilontarkan netizen seolah-olah menghukum badan itu tidak menjalankan tanggungjawab membantu asnaf terbabit.

Kenapa bila individu seperti Ebit Liew turun padang ia mendapat perhatian dan tular, tetapi bantuan sama disalurkan oleh agensi atau badan zakat bukan saja tidak diambil tahu malah dipandang sepi?

Ia seakan ada double standard dalam penilaian dan penerimaan masyarakat kita terhadap dua pihak ini.

Mengulas isu ini di Program Analisis TV AlHijrah semalam, pendakwah bebas PU Amin berkata, beliau dan rakan artis pernah ditawarkan menjadi duta kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Negeri bagi menghebahkan program, inisiatif dan agihan bantuan PPZ golongan asnaf, bagaimanapun sambutannya tidak memberangsangkan.

“Keluhan PPZ, ustaz kita dah belajar copywriting dan kita dah buat iklan macam-macam, namun masih tidak viral, apa masalahnya,” kata PU Amin.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff mengakui bahawa inisiatif dan kisah agihan bantuan PPZ masih tidak cukup kuat dihebahkan selain kekangan masyarakat kita yang juga tidak cakna.

“Masyarakat tidak cakna dan pusat pungutan zakat sendiri yang mungkin masih kurang promosi yang sepatutnya, sepertimana dibuat sesetengah NGO (pertubuhan bukan kerajaan),” katanya.

Katanya, imej dan stigma  terhadap PPZ  juga disumbangkan ketidakfahaman masyarakat terhadap perbezaan sedekah dan zakat.

“Masyarakat ingat membayar zakat itu seperti bersedekah kerana mereka lebih suka ke lapangan membantu satu dua keluarga dan selesai.

“Sedangkan dari sudut agihan zakat kepada yang memerlukan, ia mesti ada peraturan tertentu yang perlu dipatuhi.

“Masyarakat harus membezakan sedekah dan bayaran zakat. Zakat harus pada institusi, ia bukan dalam bentuk individu. Adapun pemberian daripada NGO, itu adalah sedekah bukannya zakat,” kata Ahmad Shukri.

Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Volunteer Malaysia, Mohd Fauzan Abdul Sukor pula berkata, gerak kerja  agihan bantuan akan bercelaru jika tidak ikuti prosedur operasi standard atau SOP yang betul.

Katanya, kerjasama dengan kerajaan dan pemimpin negeri perlu dijalinkan agar isu seperti individu yang mengambil kesempatan di sebalik kesempitan tidak akan berlaku.

“Ada kes yang kami terima, pemohon bantuan menyatakan agensi kerajaan dan orang awam tidak pernah membantu, namun di rumah (mereka) sudah ada banyak wheelchair (kerusi roda) dan ini amat merugikan kerana ada pihak lain yang lebih memerlukan,” kata Fauzan yang mengikuti perbincangan Analisis melalui Skype.

Bersetuju dengan Fauzan, PU Amin turut memohon individu atau mana-mana NGO yang ingin membantu, wajar ‘memberi salam’ kepada tuan rumah dan  menyelidik latar belakang asnaf yang ingin dibantu bagi mengelakkan agihan bantuan yang bersifat ‘terjah’ atau boleh disalah erti.

Apapun hasil perbincangan satu jam semalam, saya selaku penerbit dan pengacara Analisis mendapati reaksi double standard netizen itu berlaku kerana masyarakat tidak memahami peranan dan sumbangan pusat zakat kepada negara.

Institusi zakat adalah ‘tulang belakang’ kepada pembangunan ekonomi ummah dan kita sebagai masyarakat seharusnya dapat membezakan antara bantuan daripada pihak zakat dengan bantuan daripada individu atau NGO.

Ini kerana pengurusan zakat adalah di bawah tanggungjawab ulilamri, manakala bantuan sedekah boleh dilakukan mana-mana pihak. Ada beza antara zakat dan sedekah! – AlHijrah Online

Penulis adalah Penerbit & Pengacara Program Analsis yang bersiaran setiap Rabu jam 9 malam di saluran 114 TV AlHijrah.

Artikel disunting Syed Azwan Syed Ali.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply