ALHA ALFA BANTU CEGAH PENULARAN COVID-19 MELALUI TAJAAN ALAT SOLEK

KUALA LUMPUR: Kadar kes jangkitan COVID-19 yang masih tinggi di negara ini merisikokan ramai pihak untuk dijangkiti termasuk pengamal media yang perlu meneruskan tugasan harian bagi melaporan maklumat terkini kepada rakyat.

Mahu membantu mencegah penularan COVID-19 dikalangan pengamal media, Alha Alfa Cosmetics mengambil inisiatif dengan menaja set alat solek peribadi kepada para personaliti di TV AlHijrah.

Pengasasnya, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau lebih dikenali sebagai Datuk Alha Alfa berkata, sumbangan alat solek peribadi tersebut agar pengacara di stesen televisyen Islam itu terhindar daripada pandemik COVID-19 dan dapat bekerja dalam persekitaran yang selamat.

“Melalui set alat solek peribadi, ia mungkin dapat mengurangkan risiko dijangkiti jika terdapat mana-mana pengacara yang positif COVID-19 dan pernah menggunakan alat solek sama.

“Oleh itu, tajaan kami ini diharap dapat membantu operasi TV AlHijrah kekal berjalan seperti biasa dalam keadaan yang selamat agar penonton mendapat manfaat daripada program-program yang dihasilkan,” katanya.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris menghargai tajaan yang diberikan Alha Alfa Cosmetics.

Katanya tatarias merupakan satu proses yang penting dalam bidang penyiaran untuk memberi lebih keyakinan kepada pengacara.

“Dalam pandemik yang melanda kini, kita perlu sentiasa lebih berhati-hati.

“Diharapkan melalui tajaan ini semua personaliti Tv AlHijrah termasuk semua kakitangan akan terhindar dari wabak yang mengancam nyawa,” katanya.

KELAS TATARIAS BERSAMA DATUK ALHA ALFA

Selain memberikan tajaan alat solek, Alha Alfa Cosmetics turut menganjurkan kelas tatarias percuma untuk penonton TV AlHijrah yang boleh ditonton menerusi Facebook TV AlHijrah. — AlHijrah Online

Leave a Reply