MVM, JIWADAMAI LANCAR BANTUAN KESIHATAN MENTAL PERCUMA

Kuala Lumpur: Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dengan kerjasama Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai (Jiwadamai) melancarkan Tabung Projek Salam Jiwadamai bagi mengumpulkan dana RM200,000 untuk bantuan kesihatan mental.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MVM, Mohd Fauzan Abd Sukor, kempen yang akan berlangsung selama 10 bulan ini telah bermula 1 Mac lalu bertujuan memberikan rawatan kesihatan mental secara percuma kepada golongan sasaran iaitu kelompok berpendapatan rendah atau kelompok B40.

“Isu kesihatan mental dalam kalangan ibu tunggal, pasangan suami isteri, kanak-kanak dan remaja dilaporkan semakin meningkat akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pademik COVID-19.

“Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, kadar kemurungan dalam kalangan orang dewasa di Malaysia adalah 8.8 peratus dalam kalangan masyarakat luar bandar manakala 9.7 peratus individu dewasa yang mengalami kemurungan ini adalah golongan B40,” katanya.

Tambahnya lagi, peratusan kemurungan itu menjadi bertambah membimbangkan apabila pandemik COVID-19 melanda negara di mana banyak kes bunuh diri dilaporkan setiap hari.

“Muslim Volunteer Malaysia dan Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai bekerjasama bagi membantu golongan asnaf B40 dewasa dan kanak-kanak mendapatkan konsultasi dan rawatan berkaitan isu kesihatan mental dan perkembangan kanak-kanak.

“Jiwadamai juga memberi fokus kepada rawatan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya mereka yang mempunyai masalah perkembangan dan pembelajaran antaranya seperti masalah pertuturan, autism, ADHD, dan masalah pembelajaran.,” kata Mohd Fauzan.

Individu atau organisasi yang berminat untuk bersama membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 5648 0164 7699 (Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia) atau dengan melayari laman sesawang donation.mvm.org.my untuk maklumat lanjut. – AlHijrah Online

Leave a Reply