“Selesai. Saya bergelar Hajjah. Lepas ini apa pula?” CATATAN KEMBARA DHUYUFURRAHMAN 3
Semua terasa begitu sekelip mata. Hari ini, saya bergelar hajjah setelah selesai melontar di ketiga-tiga jamrat bagi melengkapkan nafar thani (melontar pada hari-hari tasyrik).
Saya hadir sebagai petugas media, merakam peristiwa dan momen yang hadir hanya pada musim haji. Begitu ramai yang saya temui, tidak terakam dek kata-kata, namun kemas tersemat dalam memori saya untuk selamanya.
Saya belajar erti tabah dari seorang buta, betapa nikmat dunia ini boleh diambil sekelip mata, namun Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih indah dari penglihatan, iaitu kemanisan iman.
Saya menemui kasih sayang seorang anak kepada ibu dan ayahnya, bila seorang chef menyantuni para dhuyufurahman dengan masakan yang penuh teliti mengangkat mereka sebagai ayah dan ibu yang perlu diberikan layanan yang sebaiknya.
Saya hidup dalam sejarah dan pengorbanan, apabila cinta kepada Allah membawa ramai anak Melayu berhijrah ke kota Mekah dan mendiami tanah suci ini kerana cintakan agama Allah.
Banyak, terlalu banyak!
Hari di Arafah akan saya kenang selamanya sebagai salah satu hari yang paling penting dalam hidup. Hari tanpa malu, saya mengadu semahunya kepada Allah. Hari saya merayu dan merayu meminta segala dosa saya diampunkan. Hari saya memohon agar diangkat segala kehinaan agar hilang dari hidup saya. Hari saya meminta untuk diberi peluang hidup sebagai manusia yang berguna di jalanNya.
Tidak ada kata-kata yang boleh menggambarkan momen ketika wukuf di Arafah itu. Sejenis sunyi yang tidak dapat ditafsir, pada saat langit terbuka luas dan malaikat-malaikat turun mendengar segala doa untuk diangkat kepada Allah, sunyi itu syahdu dan sayu.
Petugas media melakukan tawaf dan saie haji setelah kembali dari bermabit seketika di Mudzalifah, seterusnya gugur 10 larangan ihram. Cabaran seterusnya bakal bermula. Mina dan perjalanan untuk melontar di ketiga-tiga jamarat.
Dua hari bermabit di Mina, berjalan hingga 10km sehari terasa diri membangkai dalam kepenatan. Namun apa sangat 10km penat itu dibanding makna rukun itu sendiri?
Saya memujuk diri, berzikir sepanjang jalan, dalam nafas terhela pendek-pendek, saya paksakan tubuh gemuk ini untuk terus melangkah, ini perjuangan Ainur, untuk mendapat redha Allah, teruskan langkahan kaki mu. Kala saya melihat pakcik dan makcik yang berusia hampir 70-an berjalan gagah tanpa mengeluh, saya malu.
Dalam usia 39 tahun saya dijemput menjadi tetamu Allah, namun saya kalah dengan pakcik makcik yang kudratnya sudah sedikit berbanding saya yang masih muda. Rukun melontar selesai, dengan satu pengajaran yang terpatri jelas dalam jiwa, tebal dan tipisnya iman itu sudah boleh diagak dengan setiap langkah kaki yang diangkat dalam perjalanan menuju ke jamarat.
Selesai. Saya sudah bergelar Hajjah.
Kembara haji saya sudah berakhir, tetapi cabaran untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah bakal bermula.
Sepanjang perjalanan berjalan kaki balik ke tempat penginapan saya tanyakan diri saya berkali-kali. Lepas ni nak jadi apa? Masih kekal dengan sikap yang sama?
Sudah tentu tidak. Mabrur itu terjadi bila segala yang buruk tentang diri yang lama, segala kehinaan dan kelemahan pada pandangan Allah, harus ditinggalkan. Dan yang pulang ke tanahair itu haruslah seorang yang baru.
Seseorang yang mahu mencari keredhaan dan kemuliaan disisi Allah. Itu cabaran terbesar dan cabaran itu sudah bermula tatkala saya melangkah keluar selepas lontaran terakhir di jamarat Kubra.
Terima kasih TV Alhjirah dan Tabung Haji, atas kesempatan ini.
Alhamdullilah, syukur ya Allah kerana Kau redhakan aku datang ke bumi suci Mu dan mengizinkan aku melalui sebuah kembara suci dan melayakkan aku meletakkan Hajjah pada pangkal nama ku.