PROGRAM JELAJAH TURUN PADANG BANTU RAKYAT (TBR)

umnotbr

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Program Jelajah Turun Padang Bantu Rakyat (TPBR) anjuran Biro Kebajikan parti itu di sini.

Perdana menteri turut menyampaikan sumbangan kepada kumpulan pertama 50 anak yatim dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai simbolik pelancaran itu.

Beliau juga melepaskan 35 buah kenderaan pacuan empat roda yang disertai 150 peserta termasuk Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia, Pemuda dan Puteri selain Sukarelawan Briged Bantuan Bencana Biro Kebajikan UMNO serta wakil media tempatan.

Program lima hari yang meliputi lebih 22 lokasi termasuk Sabah itu diadakan sempena bulan Ramadan bagi merapatkan hubungan dengan rakyat melalui penyampaian sumbangan kepada pelbagai lapisan masyarakat yang memerlukan bantuan termasuk ibu tunggal, anak-anak yatim dan pesakit kronik oleh 191 UMNO Bahagian di seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata program itu diharap dapat memperkukuh dan merealisasikan imej UMNO sebagai parti yang membantu rakyat.

“Jadi menjadi harapan kami agar rakyat menyedari bahawa terlalu banyak telah parti lakukan baik secara langsung melalui parti sendiri atau melalui jentera kerajaan yang diwujudkan parti bersama rakan-rakan lain,” katanya.

Beliau berkata UMNO bukan parti bermusim dalam menyalur bantuan kepada rakyat sebaliknya konsisten membantu rakyat mencapai agenda parti yang menjaga kebajikan rakyat.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

BERNAMA

Leave a Reply